JAKARTA, 15 OGOS – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menekankan prestasi ekonomi yang mengatasi jangkaan, kadar pengangguran rendah serta pelbagai inisiatif kebajikan sosial bercita-cita tinggi, ketika beliau menyampaikan ucapan sulung beliau di hadapan parlimen, hari ini.
Bekas komander pasukan khas itu memegang jawatan pada Oktober lalu selepas berkempen untuk memulihkan imejnya yang tercemar oleh dakwaan pelanggaran hak asasi manusia semasa pemerintahan diktator Suharto pada akhir 1990an.
Pemimpin berusia 73 tahun itu berikrar akan memacu pertumbuhan pesat yang digerakkan oleh kerajaan bagi mengubah negara terbesar di Asia Tenggara itu menjadi kuasa besar global.
Namun, program utamanya, termasuk skim makanan sekolah percuma bagi menangani masalah tumbesaran terbantut kanak-kanak, telah membebankan kewangan negara, menimbulkan kebimbangan pelabur dan mencetuskan protes pelajar.
Dalam ucapannya, Prabowo mempertahankan dasar sosialnya dan merujuk kepada keputusan ekonomi suku kedua yang positif selepas kerajaan menetapkan sasaran pertumbuhan lapan peratus.

“Di tengah-tengah konflik politik, konflik ekonomi global, (dan) perang dagang Amerika Syarikat… Indonesia masih berjaya mencatat pertumbuhan melebihi lima peratus,” katanya di hadapan parlimen.
Selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengancam untuk mengenakan tarif tinggi sebanyak 32 peratus ke atas Indonesia pada April lalu, Prabowo berjaya merundingkan kadar lebih rendah iaitu 19 peratus sebagai pertukaran untuk mengurangkan sekatan perdagangan bagi barangan Amerika.
Minggu lalu, agensi statistik melaporkan pertumbuhan suku kedua meningkat kepada 5.12 peratus, mengatasi unjuran dan naik daripada 4.87 peratus pada suku sebelumnya.
Beliau turut menekankan kadar pengangguran yang kini berada pada paras terendah sejak krisis kewangan Asia.
Dalam agenda kebajikan sosialnya, Prabowo mengetepikan kritikan terhadap program makan tengah hari percuma bernilai berbilion dolar untuk pelajar sekolah dan ibu mengandung, sambil memuji jangkauannya yang meliputi 20 juta orang.
“Matlamat kami… adalah bebas daripada kemiskinan, bebas daripada kelaparan, bebas daripada penderitaan,” katanya. – AFP

