Jumaat, 21 November 2025
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Prabowo pertahan skim makanan percuma tangani kekurangan zat makanan

    JAKARTA, 13 NOV – Program utama kerajaan Indonesia untuk menyediakan makanan percuma bagi menangani masalah kekurangan zat makanan di negara itu telah menyumbang kepada hampir separuh daripada kes keracunan makanan tahun ini, kata seorang pegawai kepada ahli parlimen kelmarin.
     
    Beribu-ribu orang telah jatuh sakit sejak skim bernilai berbilion dolar yang dilancarkan Presiden Prabowo Subianto pada Januari itu bermula, dengan pengkritik menggesa skim tersebut perlu digantung berikutan kebimbangan terhadap tahap kebersihan.
     
    Ketua agensi kebangsaan BGN yang menyelia program tersebut, Dadan Hindayana, memberitahu parlimen, lebih daripada 11,000 orang telah mengalami keracunan makanan di seluruh Indonesia sejak pelancarannya, termasuk lebih 600 yang dimasukkan ke hospital.
     
    Daripada 441 insiden keracunan makananyang direkodkan, “program makanan percuma menyumbang 211 insiden atau 48 peratus daripada jumlah kes itu,” katanya.
     
    Bulan lalu, lebih 660 murid dari dua sekolah di Jawa Tengah mengalami cirit-birit, loya dan pening selepas memakan makanan yang disediakan oleh kerajaan.
     
    Pelajar diberikan makanan melalui program makanan percuma yang dijalankan oleh kerajaan Indonesia di Sekolah Rendah Darul Kamal, wilayah Aceh, Indonesia pada 13 Oktober. – AFP
    Dadan berkata, separuh daripada kes keracunan makanan yang dikaitkan dengan program makanan percuma berpunca daripada pencemaran E. Coli.
     
    Beliau menambah, kerajaan telah memperketat pengawasan terhadap dapur yang menyediakan makanan tersebut.
     
    Pada masa ini terdapat lebih 14,000 dapur yang beroperasi di seluruh negara di bawah program itu, yang menurut Dadan telah menyediakan makanan kepada lebih 42 juta orang setakat November.
     
    Masalah kekurangan makanan masih menjadi isu berterusan di Indonesia, di mana masalah akibat kekurangan zat makanan telah menjejaskan lebih 20 peratus kanak-kanak.
     
    Kerajaan Indonesia sebelum ini turut menetapkan sasaran untuk 82.9 juta orang iaitu kira-kira sepertiga daripada populasi negara tersebut yang menerima makanan berkhasiat menjelang akhir tahun ini.
     
    Prabowo mempertahankan program utamanya itu sebagai langkah bagi menangani kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak, sambil menegaskan kes keracunan makanan adalah kecil berbanding jumlah hidangan yang disediakan.
     
    Penerima utama makanan percuma itu adalah kalangan kanak-kanak, anak damit, wanita hamil dan menyusui.
     
    Pada tahun 2026, kerajaan Indonesia turut merancang untuk meluaskan lagi program tersebut yang bakal merangkumi warga emas dan golongan orang kelainan upaya (OKU). – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda