JAKARTA, 18 NOV – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto telah memuji Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres atas komitmennya yang tidak berbelah bahagi terhadap keamanan dan keadilan antarabangsa, dengan menyifatkan pendiriannya sebagai ‘memberi inspirasi’ dan ‘konsisten’.
“Kami amat menghargai, menghormati dan menyokong pendirian konsisten awda dalam menegakkan keamanan antarabangsa, keadilan dan undang-undang antarabangsa,” kata Prabowo kepada Guterres, menurut kenyataan daripada Sekretariat Presiden.
“Pendirian ini sangat memberi inspirasi kepada kami, kerana awda tetap teguh dalam hal ini,” katanya semasa mesyuarat dua hala kelmarin, yang diadakan di luar Sidang Kemuncak G20 di Rio de Janeiro, Brazil.
Beliau juga mengulangi komitmen kuat Indonesia untuk menyokong inisiatif PBB dalam isu global, termasuk keselamatan makanan, pembasmian kemiskinan, pencabulan hak asasi manusia dan krisis yang berterusan di Palestin.
Menurut Prabowo, Indonesia bersedia untuk menyumbang lebih lanjut, termasuk melalui potensi penempatan pasukan pengaman jika diperlukan.
Dalam reaksinya, Guterres mengucapkan terima kasih kepada Indonesia atas peranan pentingnya dalam kerjasama global, menonjolkan penglibatan pentingnya dalam kerjasama ASEAN-PBB dan menangani krisis serantau, termasuk di Myanmar dan Timur Tengah.
Beliau juga menegaskan komitmen PBB untuk mengukuhkan hubungan dengan Indonesia, khususnya dalam usaha untuk memperbaharui Majlis Keselamatan PBB dan institusi kewangan antarabangsa bagi mencapai keadilan global. – Bernama