JAKARTA, 15 JUN – Pertikaian wilayah membabitkan empat pulau kecil di barat Indonesia kini dibawa ke peringkat tertinggi pentadbiran negara itu, apabila Presiden Prabowo Subianto telah campur tangan bagi meredakan ketegangan antara wilayah Aceh dan Sumatera Utara.
Pulau terlibat ialah Pulau Mangkir Gadang, Pulau Mangkir Ketek, Pulau Lipan dan Pulau Panjang yang menjadi isu selepas Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan keputusan pada April lalu iaitu mengesahkan keputusan 2022 untuk memindahkan pentadbiran pulau tersebut daripada Aceh Singkil kepada Tapanuli Tengah di Sumatera Utara.
Langkah itu mencetuskan bantahan daripada komuniti dan kumpulan awam Aceh, termasuk Persatuan Pelajar Aceh Wilayah Jakarta Raya, yang mendesak keputusan itu dibatalkan dan kementerian mengakui wujudnya kesilapan pentadbiran.
Gabenor Aceh, Muzakir Manaf, yang juga dikenali sebagai Mualem, berhujah pulau berkenaan sememangnya milik Aceh berdasarkan rekod sejarah dan pentadbiran, serta menyatakan pertikaian itu mungkin berkait dengan kepentingan sumber luar pesisir.
Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat, Sufmi Dasco Ahmad mengesahkan kelmarin menerusi kenyataan kepada media tempatan, Presiden Prabowo bersetuju untuk menangani isu tersebut secara peribadi.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Tito Karnavian mempertahankan langkah pengelasan semula itu dengan menekankan bahawa rekod sejarah menunjukkan pertikaian ke atas pulau itu telah wujud sejak 1928.
Beliau mengakui wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan sesetengah pihak, namun menegaskan saluran undang-undang seperti Mahkamah Tata Usaha Negara (PTUN) masih boleh digunakan.
Pertikaian itu sekali lagi telah mencetuskan isu lama di Aceh, sebuah wilayah berstatus autonomi khas, dengan hal ehwal pentadbiran dan sempadan wilayah kekal sensitif meskipun selepas perjanjian damai 2005. – Bernama
