Tuesday, May 13, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pragyan temui sulfur di kutub selatan bulan

    NEW DELHI, 30 OGOS – Jentera rover India telah mengesahkan kehadiran sulfur di kutub selatan bulan, kata agensi angkasa negara itu.

    Minggu lalu, India menjadi negara pertama yang mendaratkan jenteranya berhampiran kutub selatan yang sebahagian besarnya belum diterokai, dan menjadi negara keempat yang berjaya mendarat di bulan.

    “Instrumen Laser-Induced Breakdown Spectroscopy (LIBS) di atas Chandrayaan-3 Rover telah membuat pengukuran in-situ yang pertama pada komposisi unsur permukaan bulan berhampiran kutub selatan,” kata Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India (ISRO) dalam kenyataannya Isnin lalu.

    “Pengukuran in situ ini mengesahkan kehadiran sulfur di kawasan itu dengan jelas, sesuatu yang tidak dapat dilaksanakan oleh instrumen di atas orbit,” katanya.

    Analisis spektrografi juga mengesahkan kehadiran aluminium, kalsium, besi, kromium dan titanium pada permukaan bulan, tambah ISRO, dengan ukuran tambahan menunjukkan kehadiran mangan, silikon dan oksigen.

    Rover enam roda dengan berbekalkan kuasa solar, diberi nama Pragyan yang membawa erti ‘Bijaksana’ dalam bahasa Sanskrit, akan mengelilingi kawasan di sekitar kutub selatan yang belum pernah dipetakan itu dan menghantar imej serta data saintifik selama dua minggu sepanjang tempoh operasinya.

    India telah mencatat pencapaian program angkasa lepas lain dengan menggunakan sebahagian kecil daripada kos mereka, walaupun mengalami beberapa halangan. – AFP

    Imej daripada video yang disediakan oleh ISRO memaparkan permukaan bulan ketika kapal angkasa Chandrayaan-3 bersiap sedia untuk mendarat pada 23 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda