Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Pranes’ tinggalkan negara sebelum serbuan

    CARACAS, 24 SEPT – Ketua kumpulan yang mengawal sebuah penjara di Venezuela yang diserang lebih 11,000 tentera dan polis telah melarikan diri dari negara itu seminggu sebelum operasi, kata kumpulan hak banduan pada Jumaat lalu.

    Bos-bos geng Tren de Aragua, yang menjadikan penjara Tocoron sebagai pangkalan untuk operasi jenayah antarabangsa mereka, didakwa melarikan diri selepas menerima maklumat awal mengenai operasi besar tersebut yang dirancang selama setahun.

    Pada Rabu lalu, sekumpulan besar anggota keselamatan, disokong oleh kenderaan berperisai, mengambil alih kawalan ke atas penjara terkenal yang telah dikendalikan oleh banduan.

    Mereka menyita mesin perlombongan Bitcoin, peluncur roket, dan mesin mesingan bersama dengan ribuan bekas peluru di dalam penjara yang sebelum ini telah diubahsuai oleh geng tersebut dengan kolam renang, kelab malam, dan juga zoo.

    Dalam operasi itu, seorang askar turut terkorban.

    Menurut Pemerhati Penjara Venezuela (OVV), sebuah kumpulan yang memantau perkembangan di pusat tahanan yang terkenal berbahaya di negara itu, ketua-ketua geng penjara yang dikenali sebagai ‘pranes,’ telah berunding dengan pihak berkuasa untuk meninggalkan kemudahan tersebut dan ‘telah meninggalkan negara seminggu lalu.’

    Walaupun demikian, OVV tidak mendedahkan destinasi negara yang mereka tuju dan mendakwa pihak berkuasa ‘tidak jelas’ dalam perkara itu.

    ‘Tiada jejak’ ketua kumpulan, Hector Rusthenford Guerrero Flores, mahupun leftenannya, kata kumpulan itu. – AFP

    Seorang askar menutup pintu pagar utama Pusat Penjara Tocoron semasa serbuan penjara, di Tocoron, Venezuela pada 20 September. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda