MANILA, 8 MEI – Lebih 60,000 pasukan keselamatan di Filipina meningkatkan kewaspadaan hari ini untuk mengawal pengundian dan stesen undian menjelang pilihan raya presiden, selepas polis melaporkan empat terbunuh dalam letusan keganasan.
Dalam satu insiden terburuk, empat orang terbunuh kelmarin dalam pertempuran senjata antara penyokong bersenjata dan pesaing datuk bandar di bandar Magsingal di wilayah utara Ilocos Sur, kata jurucakap polis Brigedier Jeneral, Roderick Alba.
Empat lagi cedera.
Polis di utara wilayah Nueva Ecija juga menangkap puluhan orang dan merampas senjata termasuk lima raifal M-16, senapang patah dan 15 pucuk pistol, susulan insiden berbalas tembakan antara pengawal dua calon yang bertanding bagi datuk bandar Jeneral Tinio.
Lima orang cedera dalam insiden tersebut, yang juga meninggalkan bekas tembakan peluru pada kereta SUV, kata Alba.
Lebih 18,000 jawatan, dari presiden hingga anggota majlis perbandaran, ditawarkan dalam pilihan raya tersebut.
Anak lelaki bekas diktator Ferdinand Marcos dijangka memenangi undian presiden, mengembalikan sukunya kepada kemuncak kuasa politik.
Anggota polis, pasukan bersenjata dan pengawal pantai telah dikerahkan ke seluruh kepulauan itu untuk membantu menjamin keselamatan stesen undian dan pembuangan undi, mengiringi pegawai pilihan raya serta pengawal pusat pemeriksaan.
Pengerahan keselamatan melibatkan sekitar 48,000 tentera dan 16,000 polis, kata pegawai.
“Berdasarkan perancangan kami…kami yakin akan menjalankan pilihan raya dengan teratur dan selamat,” kata jurucakap pasukan bersenjata, Kolonel Ramon Zagala. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2022/05/P10-A_09052022.jpg)