Friday, December 27, 2024
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Prayut Chan-o-Cha umum bersara daripada politik

    BANGKOK, 11 JULAI – Perdana Menteri (PM) Thailand yang akan berundur, Prayut Chan-o-Cha mengumumkan persaraannya daripada politik hari ini, tetapi akan kekal sebagai PM sehingga pembentukan kerajaan baharu.

    Pesaing lama dalam politik Thailand, ketua tentera itu merampas kuasa pada 2014 sebelum mengukuhkan kawalanya dalam pilihan raya 2019 yang sangat kontroversi.

    Keputusannya dibuat beberapa hari sebelum undian penting di parlimen Thailand yang boleh menyaksikan PM seterusnya dipilih, berikutan pilihan raya Mei lalu apabila pengundi menolak parti yang disokong tentera.

    “Mulai sekarang, saya berhenti daripada politik dengan meletakkan jawatan sebagai ahli parti UTN,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi parti United Thai Nation (UTN).

    Parti itu, yang disertai Prayut hanya beberapa minggu sebelum pilihan raya, gagal mendapat sokongan pengundi, berada di tempat kelima jauh di belakang parti pembangkang Move Forward dan Pheu Thai.

    Kumpulan pembangkang dirangsang oleh gelombang sokongan di seluruh negara, apabila pengundi menolak pemerintahan hampir sedekad yang disokong tentera dan mengundi untuk pembaharuan.

    Dalam kenyataannya, Prayut menggesa anggota UTN untuk melindungi “institusi negara, agama, dan beraja” merujuk kepada tiga tonggak masyarakat Thailand yang tidak boleh disentuh sebelum ini.

    Beliau akan kekal sebagai PM sementara sehingga pembentukan kerajaan baharu. – AFP

    Perdana Menteri Prayut Chan-O-Cha bercakap kepada media selepas mempengerusikan Jawatankuasa Dasar dan Pentadbiran Beras Negara di Rumah Kerajaan di Bangkok pada 20 Mac lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda