Saturday, March 15, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Prayuth: Kukuhkan kerjasama ASEAN

    BANGKOK, 31 JULAI – ASEAN perlu mengukuhkan kerjasama dengan Rakan Dialognya serta negara-negara di luar rantau itu untuk mencapai kemapanan dalam semua dimensi, kata Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha (gambar bawah) hari ini.

    Sebagai Pengerusi ASEAN, beliau berkata kerjasama erat di kalangan negara anggota ASEAN telah menghasilkan banyak perkembangan konkrit dalam tempoh enam bulan lepas, termasuk mengguna pakai Pernyataan Wawasan Pemimpin ASEAN mengenai Perkongsian untuk Kemapanan, dan mengerakkan kerjasama yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

    ASEAN tidak dapat mencapai semua matlamatnya secara sendirian. Kita mesti mengukuhkan kerjasama dengan Rakan Dialog kita dan dengan negara lain di luar rantau ini sambil mengalu-alukan kerjasama baharu dengan rakan baharu, ” katanya pada perasmian Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN ke-52 (AMM) di Bangkok hari ini.

    Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat tersebut.

    Prayuth berkata beliau juga memaklumkan kepada anggota G20 semasa sidang kemuncak G20 di Jepun baru-baru ini untuk mempertimbangkan meneroka kerjasama dengan ASEAN dalam empat bidang utama.

    Beliau berkata empat bidang penting ialah menggunakan teknologi kewangan, atau Fintech, untuk menyokong kemasukan kewangan untuk wanita, belia, dan komuniti terpencil; merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar menggunakan teknologi dan inovasi untuk memacu Rangkaian Bandar Pintar Asean.

    Dua lagi bidang utama adalah memulihara dan memulihkan alam sekitar dan sumber semula jadi, khususnya memerangi serpihan marin dan menyesuaikan dan mengurangkan kesan perubahan iklim; dan mempromosikan pembangunan modal insan, sama ada dalam bidang pendidikan, pembangunan kemahiran atau pembangunan kesihatan awam, katanya.

    Sementara itu, Prayuth berkata, 10 anggota ASEAN harus mengukuhkan mekanisme diterajui ASEAN, meningkatkan kesalinghubungan dan mempromosikan keselamatan serantau untuk kepentingan bersama dan memenuhi aspirasi blok serta mewujudkan dan mengekalkan ASEAN sebagai rantau keamanan dan keselamatan.

    Beliau berkata adalah penting untuk mengukuhkan mekanisme diketuai ASEAN, termasuk ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), Forum Serantau ASEAN (ARF) dan kerjasama ASEAN dengan Rakan Dialog untuk memastikan kemapanan dalam semua dimensi demi kepentingan rakyat. “Oleh itu, AMM tahun ini menjadi peluang terbaik bagi kita untuk memastikan kesinambungan dalam pelaksanaan hasil pelbagai mesyuarat,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda