SIBU, 17 FEB – Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberikan ‘lampu hijau’ untuk pembinaan jambatan sepanjang 400 meter yang menghubungkan tebing barat Sibu dengan pusat bandar.
Berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina SUPP Sibu 2025 hari ini, beliau menyuarakan keyakinan terhadap kebolehlaksanaan projek itu sambil merujuk kepada kejayaan kerajaan negeri membina projek infrastruktur berskala besar termasuk Jambatan Batang Lupar.
“Jika kita boleh membina jambatan sepanjang empat kilometer merentasi Batang Lupar maka kita juga mampu bina jambatan sepanjang 400 meter itu,” katanya.
Abang Johari turut memberikan jaminan bahawa projek berkenaan akan dilaksanakan dengan komitmen penuh terhadap kualiti setanding Jambatan Kemena di Bintulu yang terkenal dengan reka bentuk ikonik sama seperti Jambatan San Francisco.
Jambatan baharu itu akan menjadi simbol kemajuan dan kebanggaan penduduk Sibu.
Bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar, beliau mengarahkan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee dan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee mewujudkan pasukan petugas bagi memantau pelaksanaannya.
“Setakat ini, tiada negeri lain mampu membina 16 jambatan secara serentak. Ini bukti komitmen padu kerajaan Sarawak terhadap pembangunan wilayah,” katanya.
Cadangan pembinaan jambatan itu dikemukakan oleh pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan Kevin Lau Kor Jie dalam ucapan alu-aluan yang menyentuh mengenai keperluan menambah baik kesalinghubungan pengangkutan antara tebing barat Sibu dan pusat bandar. – Bernama
