Oleh Ak Zaki Kasharan –
BELAIT, 15 SEPT – Bagi memenuhi keperluan pelanggannya yang tinggal di kawasan Kuala Belait mendapatkan perkhidmatan rawatan pergigian, Premier Dental and Orthodontic Center telah membuka premis terbaharunya di Jalan Jaya Negara, Kampung Pandan, kelmarin.
Pusat pergigian berkenaan menawarkan pelbagai rangkaian perkhidmatan pergigian am dan ortodontik khusus dalam suasana yang santai lagi selesa di mana ia mempunyai dua bilik rawatan pergigian moden, di samping dilengkapi dengan ruang tempat duduk yang luas serta selesa, zon pensterilan yang direka bentuk secara profesional dan makmal pergigian.
Pengarah Urusan Premier Dental Group, Dato Paduka Dr Haji Abdul Latip bin Haji Ibrahim berkata, klinik pergigian baharu itu merupakan sebagai pelengkap bagi perkhidmatan pergigian Kementerian Kesihatan.
Ia menyediakan masyarakat di Kuala Belait dengan pilihan tambahan untuk mendapatkan perkhidmatan pergigian, yang mudah didapati dan boleh diakses.
Beliau menambah bahawa kumpulan itu mempunyai visi untuk menyediakan pesakit dengan kualiti perkhidmatan tertinggi terhadap penjagaan pergigian dalam persekitaran profesional dan selamat.
Sementara itu, Pengurus Amalan Kumpulan, Dr Murali Rao turut mengongsikan bahawa reka bentuk dan susun atur klinik telah dilengkapkan dengan semua keperluan kawal selia, terutamanya dengan merujuk kepada piawaian kawalan jangkitan dan keselamatan sinaran.
Tambahnya, Premier Dental and Orthodontic Center ialah kemudahan pergigian swasta pertama yang telah mencapai akreditasi status penuh oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) dan pasukan itu kini sedang berusaha ke arah mencapai akreditasi pergigian oleh Joint Commission International (JCI) dalam masa yang terdekat.
Sejak tujuh tahun beroperasi, kumpulan pergigian itu kini memberikan perkhidmatannya di tiga lokasi iaitu di Delima, Batu Satu dan Kuala Belait.
Meskipun beroperasi di tiga buah lokasi yang berasingan, rekod pergigian elektronik yang digunakan oleh doktor-doktor membolehkan akses lancar bagi butiran pesakit di tiga-tiga lokasi.
Pusat pergigian berkenaan dikendalikan oleh lima orang pakar bedah pergigian am, dua pakar ortodontik, seorang pakar kebersihan pergigian, dua orang juruteknik pergigian, beberapa orang pembantu pergigian terlatih, selain kakitangan sokongan yang lain.