Oleh Sim Y.H
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Sebagai usaha untuk menghubungkan pendidikan dan industri, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) mengadakan Majlis Penyampaian Sumbangan Kenderaan Wuling Formo oleh Premier Motor Co Sdn Bhd yang berlangsung di Dewan Serbaguna, IBTE Kampus Mekanikal, Kampung Tungku, hari ini.
Sumbangan kenderaan Wuling Formo daripada Premier Motor Co Sdn Bhd kepada IBTE dihasratkan untuk mengukuhkan lagi peluang pembelajaran praktikal bagi pelajar-pelajar institut berkenaan.
Hadir pada majlis dan menerima sumbangan kenderaan berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif IBTE / Pengarah Pendidikan Teknikal, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli. Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengarah Premier Motor Co Sdn Bhd, Teng Chee How, pegawai-pegawai pengurusan IBTE dan Premier Motor Co Sdn Bhd.

Dalam ucapan alu-aluannya, Dr Haji Mohd Zamri menyampaikan penghargaan kepada Premier Motor Co Sdn Bhd atas sumbangan berkenaan adalah sumbangan tersebut adalah lebih daripada menyediakan kenderaan malah ia melambangkan jambatan yang menghubungkan pendidikan dan industri serta membuktikan kerjasama kukuh dan berkekalan antara IBTE dan rakan kongsi industri yang dihargai.
Sumbangan itu bertujuan untuk menyokong pelajar kejuruteraan automotif IBTE, memberikan mereka pengalaman langsung dalam sistem kenderaan, penyelenggaraan dan diagnostik.

Dengan akses kepada Wuling Formo, pelajar akan lebih dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk memenuhi permintaan industri automotif yang semakin meningkat.
Pada majlis berkenaan, Dr Haji Mohd Zamri telah menerima sumbangan kenderaan, Wuling Formo yang disampaikan oleh Teng Chee How.
Beliau dipetik menyatakan industri dan pendidikan harus saling bergerak bersama dan menerusi sumbangan Wuling Formo berkenaan, berharap ia dapat memainkan peranan dalam memupuk profesional automotif berkemahiran Brunei generasi akan datang.
Sumbangan itu mencerminkan kerjasama yang sekian lama terjalin antara Premier Motor Co Sdn Bhd dan IBTE melalui perantisan, penempatan industri dan pembangunan kurikulum serta sumbangan kenderaan latihan mereka sebelum ini yang masih digunakan secara aktif hari ini.
Inisiatif terbaharu itu dijangka meningkatkan kecekapan pelajar, meningkatkan kesediaan industri dan mengukuhkan lagi kerjasama antara IBTE dan Premier Motor Co Sdn Bhd.



