KUCHING, 27 APRIL – Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan mengetuai delegasi kerajaan negeri melawat Pusat Inovasi CSA Catapult di Newport, United Kingdom (UK) sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan kerjasama dalam pembangunan semikonduktor antara UK dan Sarawak.
Kenyataan Pejabat Premier Negeri memaklumkan bahawa lawatan ke pusat inovasi tersebut pada 29 April akan menyaksikan kerajaan Sarawak, melalui SMD Semiconductor Sdn Bhd, menandatangani dokumen perjanjian kerjasama dengan CSA Catapult, Silicon Catalyst dan 5G3i Ltd dari UK.
“CSA Catapult adalah pihak berkuasa UK dalam aplikasi semikonduktor sebatian dan pengkomersialan semikonduktor, manakala Silicon Catalyst adalah inkubator semikonduktor utama dan 5G3i Ltd adalah penyedia penyelesaian kecerdasan buatan tahap litar yang terkemuka di UK,” katanya.
Pengerusi SMD Semiconductor, Datuk Seri Wanlizozman Haji Wan Omar, yang juga Setiausaha Kewangan Sarawak, akan menyampaikan taklimat mengenai Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030 kepada pemain industri semikonduktor UK semasa lawatan itu.
“Lawatan ke kemudahan itu akan diakhiri dengan majlis makan tengah hari rangkaian bersama wakil-wakil dari kerajaan Inggeris, Scotland dan Ireland Utara untuk memperkukuhkan hubungan, terutamanya dalam kemajuan semikonduktor sebatian,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa delegasi Abang Johari dijadualkan melawat Cambridge University Press and Assessment, sebuah institusi bukan sekolah di bawah Universiti Cambridge, pada 30 April, sebelum menghadiri perbincangan meja bulat dengan London School of Economics and Political Science (LSE) pada 1 Mei. – Bernama
