Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Premis bank di Jalan Gaya jadi destinasi popular pelancong

    KOTA KINABALU, 18 OGOS – Premis sebuah bank di Jalan Gaya menjadi destinasi popular dalam kalangan pelancong apabila dijadikan latar belakang untuk bergambar bagi dimuat naik di media sosial.

    Lokasi itu banyak dikongsi di platform media sosial seperti Xiaohongshu, menjadikan tempat berkenaan dan Kota Kinabalu sebagai destinasi yang wajib dilawati.

    Masyarakat setempat yang sebelum ini hanya melewati kawasan itu juga kini tidak melepaskan peluang untuk merakam gambar selepas lokasi berkenaan dikunjungi ramai pelancong dan menjadi sohor kini di media-media sosial.

    Huang Hui Yu, seorang pegawai bank berusia 28 tahun dari China bersama rakan-rakannya teruja kerana dapat bergambar di lokasi itu selepas dikongsi pempengaruh di negara berkenaan meskipun tidak mengetahui bangunan itu premis cawangan sebuah bank yang tidak lagi beroperasi.

    “Kami merancang untuk datang ke Jalan Gaya ini tetapi sepanjang perjalanan, kami melihat keindahan Kota Kinabalu dan jatuh cinta dengan bandar raya ini, sudah tentu saya akan datang lagi ke sini terutama untuk menikmati makanan yang lazat,” katanya kepada Bernama.

    Seorang pelajar dari China, Alex Lee, 20, merasakan setiap detik yang dihabiskan di Sabah umpama mimpi yang menjadi kenyataan selepas bertandang ke Jalan Gaya dan Kota Kinabalu.

    Beliau berkata pengalaman yang sering dikongsikan warganet di media sosial membuatkan dia tidak sabar untuk melihat sendiri keindahan dan hospitaliti yang ditawarkan Kota Kinabalu. – Bernama

    Gambar ANN/NST
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda