BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Ogos – Sebuah premis persendirian di Daerah Brunei dan Muara yang disyaki menjual produk steroid anabolik telah diserbu tiga pasukan penguatkuasaan terdiri daripada Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja serta Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan di sini, beberapa produk steroid seperti Stallion Anabolic Equipose 300 (mengandungi Boldenore undecyienate), Stallion Anabolic Winstrol 100 (Stanozolol), Stallion Anabolic Masterone 100 (Drostanolone propionate), Stallion Anabolic Anavar 100 (Oxandrolone), Stallion Anabolic Sustanon 300 (Testosterone), Stallion Anabolic Enanthate 300 (Testosterone enanthate) dan Stallion Anabolic Cypionate 300 (Testosterone cypionate) ditemui dan dirampas.
Turut dirampas ialah beberapa jenis ubat iaitu lima biji kapsul Xenical 120mg, ubat bagi merawat obesiti (mengandungi Orlistat); lapan biji Fusix 50mg, ubat bagi merawat penyakit darah tinggi (Frusemide) dan 21 biji Stallion Anabolic Nolvadex 20, ubat antikanser (Tamoxifen citrate). Semua produk berkenaan telah dirampas dan diserahkan kepada Pasukan Polis Diraja Brunei untuk tindakan undang-undang selanjutnya.
Sehubungan dengan itu, orang ramai yang telah membeli atau menggunakan produk-produk tersebut dinasihatkan untuk memberhentikan penggunaannya dengan serta merta. Jika pengguna mengalami kesan sampingan dan merasa tidak sihat selepas penggunaan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.
Steroid anabolik ialah sejenis bahan sintetik, di mana struktur kimia dan fungsinya hampir sama dengan hormon lelaki iaitu testosteron. Ia lazimnya digunakan oleh sesetengah atlet untuk meningkatkan prestasi tenaga mereka dengan menggalakkan pertumbuhan otot (anabolic effect) dan peningkatan ciri-ciri seksual lelaki (androgenic effect) untuk lelaki mahupun wanita.
Di Negara Brunei Darussalam, steroid anabolik dikategorikan sebagai ubat dan ianya dikawal di bawah Perintah Ubat 2007. Penggunaannya memerlukan preskripsi dan pemantauan doktor. Antara kesan sampingan akibat penyalahgunaan steroid anabolik adalah meningkatkan risiko arteriosklerosis, iaitu keadaan di mana lemak terkumpul di dalam saluran darah dan mengganggu perjalanan darah yang boleh menyebabkan serangan jantung (jika perjalanan darah ke jantung terhalang) atau strok (jika perjalanan darah ke otak terhalang); kegagalan jantung (heart failure), meningkatkan tahap kolesterol tidak baik dan mengurangkan tahap kolesterol baik; kanser hati; pertumbuhan payudara (bagi lelaki) dan keguguran rambut yang menyebabkan botak.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan lagi, ia juga berpotensi menjejaskan kesuburun seperti kurangnya penghasilan sperma atau penghasilan sperma yang tidak sempurna yang menjejaskan kesuburan; ketidaksuburan bagi wanita dan menjejaskan haid, dan risiko tinggi dalam mendapat jangkitan virus seperti HIV atau AIDS, Hepatitis B dan Hepatitis C jika pengguna saling berkongsi jarum suntikan.
Kementerian Kesihatan menegaskan bahawa penjualan produk-produk tersebut (termasuk penjualan secara online seperti melalui Facebook dan sebagainya) menjadi satu kesalahan di bawah Perintah Ubat 2007 untuk menjual produk ubat tanpa lesen yang sah seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 10, Perintah Ubat 2007 yang mana boleh dikenakan denda tidak melebihi dari $5,000 atau dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika memiliki apa-apa produk ubat bagi maksud untuk menjual, membekalkan atau mengimport tanpa lesen yang sah.
Kementerian Kesihatan akan terus membuat pemantauan ke atas produk-produk yang dipasarkan di negara ini dalam menjaga keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan orang awam.