KOTA MARUDU, 11 APRIL – Usahawan tamu mingguan di Kampung Tagaroh kini dapat menjalankan perniagaan dalam suasana lebih selesa selepas siap sepenuhnya pembinaan premis tamu desa yang dibina menerusi peruntukan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) tahun lepas.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata premis itu adalah antara 94 tamu desa yang dibangunkan menggunakan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada para peniaga kecil.
“Ia juga sebahagian penyelesaian kepada keperluan khusus di Sabah dan Sarawak yang mempunyai tradisi tamu sehari setiap minggu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Ewon meninjau premis berkenaan sambil menyantuni peniaga, kebanyakannya golongan ibu yang menjual pelbagai produk seperti sayur-sayuran, buah-buahan, makanan dan minuman.
Beliau turut menyampaikan sumbangan Sentuhan Kasih berjumlah RM5,000 kepada Jawatankuasa Pentadbir Tamu Desa Kampung Tagaroh bagi pembelian kelengkapan tambahan seperti meja jualan dan kerusi untuk kegunaan usahawan di premis itu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tagaroh, Ridjoe Galanang, dalam kenyataan sama, merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas pembinaan bangunan tamu desa itu yang disifatkannya sebagai sinar baharu buat peniaga kecil.
“Sebelum ini, kami hanya berniaga menggunakan payung dan kanopi. Kini, dengan adanya bangunan ini, para peniaga dapat berniaga dalam keadaan lebih selesa dan tersusun,” katanya.
Beliau berkata tamu desa di kampung itu diadakan setiap hari Rabu dan menjadi platform penting dalam memasarkan hasil pertanian penduduk setempat. – Bernama
