Thursday, September 19, 2024
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    PREPanita anjur forum persiapan hadapi dunia pekerjaan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 SEPT- Untuk memperkasa pelajar-pelajar pengajian tinggi agar bersedia secara mental untuk menempuh alam pekerjaan dan menghadapi cabarannya dengan baik, kira-kira 130 orang penuntut IBTE kelmarin menghadiri dua forum PREPanita bertajuk Selamat Datang ke Dunia Pekerjaan dan Communi-Kasih: Komunikasi Adalah Kunci Kebahagiaan bertempat di Kampus IBTE Nakhoda Ragam kelmarin.

    Forum anjuran Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan dan persatuan-persatuan bukan kerajaan itu diadakan dengan tujuan memberi pendedahan mengenai isu-isu gangguan seksual di tempat kerja di samping meningkatkan kesedaran tentang kepentingan hak-hak wanita dan mempersiapkan diri untuk menghadapi masalah atau musibah yang tidak dijangka. Selain itu ia juga bertujuan untuk memberikan pendedahan mengenai penerapan positif dalam kehidupan dan tatacara untuk berani tampil ke hadapan.

    Menurut kenyataan, forum pertama mengenai dunia pekerjaan dikendalikan oleh Dayang Siti Zaharah binti Haji Abdul Razak dari JAPEM selaku moderator. Ahli-ahli panel terdiri daripada Pegawai Pembangunan Masyarakat, JAPEM, Dayang Siti Alifah binti Awang Osman; Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat Satu, Pusat Pembangunan Belia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dayang Anisa binti Haji Taib dan Penasihat Undang-Undang dan Pendakwa Raya, Pejabat Peguam Negara, Dayang Sabrina binti Haji Mahmud.

    Dayang Siti Alifah telah mengongsikan kaedah yang berkesan untuk menangani para wanita yang menghadapi tekanan yang berlebihan di tempat kerja dengan cara melakukan aktiviti yang boleh mengurangkan tekanan/stres dan burnout. Selain itu, menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga, meningkatkan produktiviti kerja dan memperbaiki hubungan sosial adalah sangat penting untuk menjaga keseimbangan antara pekerjaan dan juga kehidupan, menurut beliau. Salah satu tip yang beliau kongsikan ialah kepentingan pengurusan masa dalam mencapai keseimbangan.

    Dayang Anisa pula mengongsikan beberapa program latihan kemahiran jangka masa pendek dan panjang yang dikendalikan oleh Pusat Pembangunan Belia, KKBS seperti Program Pertanian dan Perladangan, Program Belia Berpadi, Program Inkubator dan Program Artisan Kemahiran.

    Dayang Sabrina turut mengongsikan pengalaman dalam memperkasa wanita yang berilmu dan berwibawa dalam menempuh alam pekerjaan. Beliau menekankan kepentingan komunikasi terutamanya apabila berkaitan dengan isu peribadi seperti isu gangguan seksual.

    Seterusnya, forum kedua mengenai komunikasi telah dikendalikan oleh Dayang Siti Zaharah binti Haji Abdul Razak dari JAPEM selaku moderator. Ahli-ahli panel terdiri daripada Pegawai Khidmat Nasihat Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Ustazah Dayang Salmah binti Haji Ahmad; Ketua Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak, Jabatan Siasatan Jenayah, DSP Norkhatijah binti Haji Zainal; Pegawai Kebajikan Perubatan, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Dk Hajah Nurizni binti Pg DP Haji Sallehuddin dan Pengasas Bleed Safely, Dayang Siti Zaimah binti Roslan.

    Ustazah Dayang Salmah telah mengongsikan mengenai peranan lelaki dari perspektif Islam serta interaksi pergaulan antara perempuan dan lelaki mengikut batas syariat. Beliau menekankan peranan lelaki adalah sebagai pemimpin dalam keluarga, di samping menjadi pelindung bagi ahli-ahli keluarga lainnya selain menekankan bahawa pergaulan di antara lelaki dan perempuan perlulah dijaga dengan baik untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

    Sementara, DSP Norkhatijah pula mengongsikan mengenai kes-kes yang diterima berkenaan dengan wanita dan tindakan yang boleh diambil. Beliau menyatakan kes-kes yang tertinggi ialah kes keganasan rumah tangga terhadap isteri dan juga kes seksual yang menjatuhkan maruah dan menyeru untuk sentiasa berhati-hati dan segera melaporkan kepada tenaga pengajar sebagai tindakan awal, selain daripada membuat laporan kepada pihak berkuasa.

    Dk Hajah Nurizni pula mengongsikan antara kes-kes tertinggi yang ditangani oleh Kebajikan Perubatan Hospital ialah kes penderaan wanita dan kanak-kanak, mengandung di bawah umur dan wanita yang melahirkan anak di luar nikah. Dari segi kesihatan mental, beliau menekankan untuk mengenal pasti simptom-simptom masalah kesihatan mental serta menyeru para penuntut untuk mengetahui kepentingan self-care dan meminta pertolongan apabila menghadapi kesusahan.

    Dayang Siti Zaimah pula mengongsikan program meningkatan kesedaran kesihatan wanita terutama sekali mengenai sakit haid dan bersalin serta kepentingan menggunakan produk yang bersesuaian terutama sekali bagi remaja yang baru mengalami haid.

    Suasana sekitar forum berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JAPEM 

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda