LUANDA, 1 Ogos – Presiden Angola, Joao Lourenco, telah mengambil keputusan untuk memecat Alfredo Eduardo Manuel Mingas daripada jawatan yang dipegangnya sebelum ini, iaitu sebagai Komander Jeneral Polis Kebangsaan negara itu.
Menurut kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Pejabat Hal Ehwal Awam Presiden di sini, kelmarin, menyatakan bahawa Lourenco turut memecat Paulo Gaspar de Almeida daripada jawatan yang dipegangnya sebagai Komander Jeneral Kedua.
Turut dipecat ialah António Pedro Joaquim Kandela yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Komander Polis Sempadan Kebangsaan, tambah kenyataan itu lagi.

Dalam perkembangan lain yang berkaitan, Lourenco telah memutuskan untuk melantik de Almeida sebagai Komander Jeneral Polis Kebangsaan Angola.
Manakala jawatan bagi Komander Jeneral Kedua pula diisikan oleh Kandela, selepas ia dilantik bagi menggantikan individu yang dipecat sebelum ini.
Presiden negara itu juga turut menaikkan pangkat de Almeida kepada Komisioner Jeneral mengikut perlembagaan Angola. – Bernama