Tuesday, March 4, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Presiden Argentina nafi terlibat dalam skandal mata wang kripto

    BUENOS AIRES, 3 MAC – Presiden Argentina, Javier Milei, menafikan sebarang penglibatan dalam skandal mata wang kripto selepas laporan mendakwa ahli perniagaan cuba ‘menjual akses’ kepada beliau sebelum skandal itu tercetus.

    Pendakwa raya dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menyiasat sama ada Milei terbabit dalam penipuan, jenayah bersekutu, atau pelanggaran tugas rasmi selepas beliau memuji mata wang kripto $LIBRA di media sosial bulan lalu.

    Nilai mata wang itu melonjak sebelum jatuh menjunam, menyebabkan Milei memadamkan hantaran tersebut beberapa jam kemudian dan mengakui kesilapan.

    Pakar ekonomi Argentina, penganalisis kripto dan ahli politik pembangkang mengkritik presiden berhaluan kanan itu, yang dikenali sebagai ‘anarko-kapitalis’, sambil menyatakan aset digital tersebut mungkin merupakan penipuan atau skim Ponzi.

    Majalah Forbes menggelar skandal itu sebagai “kecurian kripto terbesar dalam sejarah”.

    Sementara itu, The New York Times melaporkan bahawa seorang perunding kripto dari Amerika Syarikat dan rakan niaga Argentina Milei cuba ‘menjual akses kepada presiden’ dalam sebuah persidangan di Argentina tahun lalu.

    Namun, laporan itu menegaskan tiada bukti Milei mengetahui tentang tawaran tersebut. – AFP

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda