NAYPYITAW, Myanmar, 30 Mac – Pengikut setia Aung San Suu Kyi, Win Myint hari ini berikrar akan mengutamakan peraturan undang-undang, keamanan dan perdamaian selepas mengangkat sumpah sebagai presiden baharu negara itu yang akan meneruskan penghormatan presiden sebelumnya kepada Aung San Suu Kyi sebagai pemimpin kebangsaan de facto.
Myint, 66, yang juga bekas speaker dewan rendah, mengangkat sumpah sebagai presiden ketika sesi bersama Parlimen, serta menjanjikan kesetiaan ‘kepada rakyat dan republik Kesatuan Myanmar’.
Timbalan presiden pertama Myint Swe, calon tentera dan timbalan presiden kedua Henry Yan Tio, calon parlimen dewan rendah, mengangkat sumpah bersamanya.
Suu Kyi dan ketua tentera berpengaruh Jeneral Kanan Min Aung Hlaing menyaksikan upacara mengangkat sumpah itu.
Menjadi tahanan politik selama bertahun-tahun di bawah pemerintahan tentera yang memerintah Myanmar pada masa itu, Suu Kyi tidak dapat menjadi presiden kerana perlembagaan 2008 yang didrafkan oleh pihak junta menegah mereka yang mempunyai keluarga warga luar yang secara langsung bertujuan menegah Suu Kyi daripada menjadi pemimpin negara. Dua orang anak lelakinya adalah warga Britain.

Ketenteraan Myanmar telah memimpin dengan pemerintahan kuku besi sebelum menyerahkan tampuk kuasa kepada kerajaan awam yang diterajui Suu Kyi dalam tahun 2016. Pihak tentera masih memegang kuasa yang besar, dengan mengawal keselamatan kebangsaan dan fungsi kerajaan lain serta menguasai suku kerusi dalam parlimen.
Suu Kyi menjadi menteri luar dan ahli majlis negara, satu kedudukan yang dibentuk untuknya dan berkata apabila kerajaannya mengambil alih pucuk pimpinannya akan berada pada kedudukan ‘di atas presiden’.
Dia telah menerajui kerajaan dalam keadaan itu ketika rakan rapatnya, Htin Kyaw menjadi presiden sebelum ini dan telah bersara minggu lalu kerana masalah kesihatan.
Dalam ucapan sulungnya Win Myint berikrar akan berusaha memindah perlembagaan.
“Sebagai sebahagian keutamaan kerajaan kesatuan, meminda perlembagaan adalah paling penting untuk membina kerajaan demokrasi federal,” kata Win Myint.
“Saya akan mengutamakan perlaksanaan peraturan undang-undang, bagi peningkatan kehidupan rakyat, perdamaian kebangsaan dan kedamaian dalam negara.” – AP