DAMSYIK, 25 FEB – Presiden sementara baharu Syria, Ahmed al-Sharaa berkata beliau merancang untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa keadilan peralihan, dalam ucapan hari ini selepas pembukaan persidangan dialog nasional.
Sharaa, yang kumpulan Islamisnya, Hayat Tahrir al-Sham, telah menggulingkan Presiden terdahulu, Bashar al-Assad pada Disember lalu, turut menekankan perpaduan Syria dan ‘monopoli’ senjata oleh negara.
Persidangan dialog nasional yang diadakan di istana presiden di Damsyik menandakan permulaan fasa penting bagi tadbir urus masa depan negara itu selepas perang saudara yang teruk.
“Selama dua bulan terakhir, kami telah berusaha memburu mereka yang melakukan jenayah terhadap rakyat Syria,” kata Sharaa kepada para hadirin.
“Kami akan berusaha untuk membentuk sebuah badan keadilan sementara bagi mengembalikan hak rakyat, memastikan keadilan, dan insya-Allah, membawa penjenayah ke muka pengadilan.”
“Kesatuan senjata dan monopoli senjata oleh negara bukanlah satu pilihan tetapi satu kewajipan dan tanggungjawab,” kata pemimpin sementara itu.
“Syria tidak boleh dipecahkan, ia adalah satu kesatuan yang lengkap dan kekuatannya terletak pada perpaduannya.”
Ratusan orang dilihat tiba untuk persidangan itu dalam rakaman yang diterbitkan oleh agensi berita rasmi SANA, sebelum perbincangan bermula. – AFP
