KIEV, 16 Mei – Parlimen Ukraine hari ini mengundi untuk mengadakan upacara pelantikan presiden yang baharu dipilih, pelakon komedi Volodymyr Zelensky, pada hari Isnin, selepas beliau bertekak dengan penggubal undang-undang berhubung tarikh.
Zelensky berkata beliau mahu mengadakan majlis pelantikan pada Ahad, satu tindakan bersifat kontroversi memandangkan ia adalah hari perkabungan untuk mangsa penindasan era-Stalin di bekas negara Soviet itu.
Beliau berkali-kali menuduh Ahli Parlimen sengaja menangguh upacara tersebut, tetapi penggubal undang-undang mengundi menyokong upacara pelantikan pada Isnin dengan 315 menyokong tarikh itu dan dua membantah.
Pelakon komedi berusia 41 tahun itu, dengan satu-satunya pengalaman dalam politik sebelum ini adalah memegang watak presiden dalam siri televisyen, menewaskan penjawat kini Petro Poroshenko dalam pengundian yang diadakan pada 21 April, di mana beliau memperoleh 73.2 peratus daripada undi.
Zelensky berjanji akan membanteras rasuah di Ukraine dan menamatkan perang dengan pemisah yang disokong oleh Rusia di kawasan timur negara, menuduh presiden bersara tidak melakukan apa-apa untuk mempertingkat taraf hidup dan membasmi kemiskinan. – AFP
