Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV- Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat menyaksikan Pertandingan Sukan Karate yang berlangsung di Malaz Combat Hall semasa 6th Islamic Solidarity Games 2025, Riyadh Arab Saudi, kelmarin.
Pertandingan berkenaan melibatkan dua orang atlet negara iaitu Dayang Farhah Syahirah binti Mohd Sahmrin dalam Women’s Individual Kata, dan Awang Mohammad Nazirul bin Haji Johari dalam Men’s Individual Kata.
DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah juga berkenan mengurniakan sabda nasihat kepada para atlet.
Dalam acara berkenaan, Dayang Farhah Syahirah memperoleh 37.7 menentang atlet dari Algeria yang memperoleh 38.3 di Suku Akhir.
Manakala itu, Awang Mohammad Nazirul telah berjaya memenangi Pusingan 16 menentang atlet Niger dengan kiraan mata 39 berbalas 36.6 dan kalah di Suku Akhir kepada atlet UAE dengan memperoleh 38.2 berbalas 39.6.



