Sunday, March 30, 2025
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Presiden Brazil adakan lawatan negara empat hari ke Jepun

    TOKYO, 26 MAC – Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva menghadap Maharaja Jepun Naruhito dan Maharani Masako kelmarin, menjadikan beliau tetamu negara pertama Jepun dalam tempoh enam tahun, sekali gus menekankan kepentingan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

    Lula menghadiri upacara sambutan negara di Istana Maharaja, yang turut dihadiri Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, sebelum majlis santapan negara berlangsung.

    Isteri Presiden, Janja Lula da Silva juga turut serta menghadap pasangan diraja Jepun itu, lapor agensi berita Kyodo.

    Kali terakhir Jepun menerima pemimpin asing sebagai tetamu negara adalah pada Mei 2019, semasa Presiden Amerika Syarikat (AS) ketika itu, Donald Trump berkhidmat dalam penggal pertamanya.

    Lawatan negara di Jepun kebiasaannya merangkumi upacara sambutan rasmi, menghadap Maharaja dan Maharani serta majlis santapan negara di Istana Maharaja.

    Lula dan Ishiba dijadual mengadakan rundingan sidang kemuncak pada hari ini bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala sebelum Lula menamatkan lawatan empat harinya ke Jepun pada Khamis.

    Tahun ini menandakan ulang tahun ke- 130 hubungan diplomatik antara Jepun dan Brazil.

    Sebagai sebahagian daripada acara memperingati hubungan itu, Puteri Kako, puteri bongsu Putera Mahkota Fumihito dan Puteri Mahkota Kiko, dijangka melawat Brazil pada awal Jun bagi mempromosikan hubungan persahabatan. – Bernama

    Luiz Inacio Lula da Silva (kiri) berjabat tangan dengan Shigeru Ishiba di Forum Ekonomi Jepun-Brazil di Tokyo, pada 26 Mac 2025. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda