MOSCOW, 5 MEI – Presiden China, Xi Jinping, akan melawat Rusia pada 7 hingga 10 Mei dan menyertai rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin dalam acara memperingati kemenangan Pihak Bersekutu menentang Nazi Jerman, menurut Kremlin kelmarin.
Lawatan itu berlaku ketika ketegangan memuncak antara Beijing dan Washington berhubung tarif perdagangan Amerika Syarikat yang tinggi dan arahan Putin untuk gencatan senjata selama tiga hari di
Ukraine, bersempena dengan Hari Kemenangan Perang Dunia Kedua Rusia pada 9 Mei.
Moscow dan Beijing mengisytiharkan perkongsian tanpa had beberapa minggu sebelum Putin mengumumkan serangannya ke Ukraine pada Februari 2022, dan kedua-dua negara itu telah mengembangkan hubungan perdagangan dan ketenteraan mereka dalam pakatan yang membimbangkan pihak Barat.
Pejabat presiden Rusia berkata, “Xi akan mengadakan rundingan dua hala dengan Putin mengenai pembangunan perkongsian dan hubungan strategik serta isu mengenai agenda antarabangsa dan serantau.
“Kerajaan dan menteri dijangka menandatangani beberapa siri dokumen dua hala,” tambahnya.
Dalam temu bual bersama televisyen kerajaan itu yang disiarkan kelmarin, Putin berkata kepentingan Rusia dan China adalah sama.
“Hubungan ini sangat strategik,” kata Putin mengenai hubungan dengan Beijing.
China telah menggambarkan dirinya sebagai pihak berkecuali dalam konflik tiga tahun itu, walaupun kerajaan Barat berkata hubungan rapatnya dengan Rusia telah memberi sokongan ekonomi dan diplomatik yang penting kepada Moscow. – AFP
