Thursday, February 20, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Presiden China Xi temui pemimpin perniagaan termasuk Jack Ma

    BEIJING, 17 FEB – Presiden China Xi Jinping mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin perniagaan swasta hari ini, dengan pengasas bersama Alibaba, Jack Ma, turut hadir, menurut rakaman media negara.

    Sejak mengambil alih kuasa lebih satu dekad yang lalu, Xi secara konsisten berusaha untuk memperkukuhkan peranan syarikat negara dalam ekonomi kedua terbesar dunia dan memberi amaran terhadap peluasan sektor swasta yang ‘tidak teratur’.

    Namun, laporan minggu lepas menyatakan bahawa pemimpin China itu bersedia mengadakan rundingan dengan tokoh-tokoh perniagaan terkemuka, sementara negara itu bergelut dengan ekonomi yang semakin perlahan akibat krisis hartanah, penggunaan yang lemah dan pengangguran golongan muda yang tinggi.

    Saluran penyiaran negara CCTV melaporkan bahawa pertemuan itu berlangsung di Dewan Agung Rakyat di Beijing, dengan rakaman menunjukkan Ma berdiri dan bertepuk tangan ketika Xi memasuki bilik mewah tersebut.

    Kehadiran Ma dalam pertemuan itu memberikan petunjuk mengenai potensi pemulihan semula imej jutawan tersebut selepas beberapa tahun menghilangkan diri akibat pertelingkahan dengan pengawal selia.

    Antara peserta lain dalam pertemuan itu termasuk Ren Zhengfei, pengasas gergasi teknologi Huawei dan Wang Chuanfu, pengasas gergasi kenderaan elektrik BYD. – AFP

    Presiden China Xi Jinping menyampaikan ucapan pada majlis makan malam menjelang sambutan ulang tahun ke-25 penyerahan Macau dari Portugal ke China pada 19 Disember lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda