CALI, 12 JUN – Presiden Colombia berhaluan kiri, Gustavo Petro, menuduh Amerika Syarikat (AS) dan ‘pelampau sayap kanan’ merancang untuk menggulingkannya ketika negara itu sedang bergelut dengan gelombang keganasan.
Dia mengulangi kenyataan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, yang mendakwa Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, sedang mengetuai percubaan rampasan kuasa terhadap Petro untuk “memenuhi seluruh Colombia dengan kumpulan jenayah.”
“Seorang presiden negara jiran mengatakan bahawa Marco Rubio sedang merancang rampasan kuasa terhadap saya,” kata Petro semasa satu perhimpunan di Cali, bandar ketiga terbesar di Colombia.
Pemimpin Colombia itu, yang mula memegang jawatan pada Ogos 2022, turut memuat naik kenyataan dalam talian yang mendakwa “pelampau sayap kanan di Colombia dan AS” sering berhubung untuk membincangkan usaha menggulingkannya.
Beliau mendakwa seorang ‘pemimpin’ pelampau kanan telah berbincang dengan Rubio, namun tidak memberikan butiran lanjut. Colombia kini berdepan krisis keselamatan paling buruk dalam tempoh sedekad menjelang pilihan raya presiden tahun hadapan.
Negara Amerika Latin itu digegarkan oleh beberapa serangan bom dan tembakan berkoordinasi pada Selasa lalu yang meragut sekurang-kurangnya tujuh nyawa di sekitar Cali. – AFP
