DOHA, 12 DIS – Presiden Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL), Alejandro Dominguez semalam menggesa FIFA menghormati legenda bola sepak Pele dan Diego Maradona dengan memberikan hak pe-nganjuran Piala Dunia 2030 kepada benua itu.
Cadangan bersama Amerika Selatan – termasuk Uruguay, Argentina, Chile dan Paraguay – disaingi bidaan daripada Eropah yang melibatkan Sepanyol, Portugal dan Ukraine serta kerjasama antara Mesir, Greece dan Arab Saudi, lapor Xinhua.
“Soalan kepada FIFA – apakah perancangan mereka terhadap sejarah yang dilakar Pele dan kemudian Maradona?” kata Dominguez pada satu acara di Doha.
Kejohanan 2030 akan berlangsung 100 tahun selepas Uruguay memenangi Piala Dunia sulung sebagai tuan rumah.
“Ia benar-benar perlu kembali ke akar umbi kerana bola sepak bukan hanya mengenai duit semata-mata. Ia tidak sepatutnya mengenai persaingan siapa yang mengeluarkan duit paling banyak untuk Piala Dunia. Sepatutnya ia lebih mengenai pengiktirafan kepada pihak yang telah menjayakannya,” menurut Dominguez merujuk kepada Pele dan Maradona.
Pele, 82, adalah satu-satunya pemain yang memenangi Piala Dunia sebanyak tiga kali manakala Maradona mengetuai Argentina menjulang kejuaraan pada 1986. Kedua-dua pemain berkongsi anugerah untuk pemain terbaik FIFA abad ke-20. – Bernama


