Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Presiden Czech alami kemalangan motosikal

    PRAGUE, 24 MEI – Presiden Czech, Petr Pavel dimasukkan ke hospital Prague selepas mengalami kemalangan motosikal kelmarin tetapi kecederaannya tidak serius, kata pejabatnya di X.

    Pavel yang berusia 62 tahun, memegang jawatan itu sejak Mac 2023, akan tinggal di hospital untuk tempoh masa yang tidak ditentukan.

    “Kecederaannya tidak serius, tetapi mereka memerlukan beliau dipantau di Hospital Universiti Tentera Prague,” kata pejabat Pavel.

    Jurucakapnya, Vit Kolar memberitahu TV Czech bahawa Pavel akan menghabiskan beberapa hari di hospital, tanpa memberikan kesan besar terhadap programnya.

    “Ia adalah Jumaat, Sabtu dan Ahad jadi kami percaya ia tidak akan memberikan kesan yang ketara,” kata Kolar.

    Gambar AP

    Dia memberitahu TV Czech bahawa ‘kita akan lihat’ sama ada Pavel akan sihat sepenuhnya untuk perjalanan ke luar negara minggu depan.

    Pejabat Pavel berkata awal kelmarin presiden akan berkunjung ke Jordan tetapi tidak jelas sama ada perjalanan itu dirancang untuk minggu depan.

    Pavel juga dijangka bertemu dengan Menteri Luar NATO yang menghadiri mesyuarat tidak rasmi di Prague Khamis depan, menurut sumber diplomatik.

    Media Czech melaporkan bahawa presiden itu telah terlibat dalam kemalangan di litar perlumbaan tertutup dan polis tidak menyiasat kemalangan itu.

    Bekas jeneral NATO, Pavel terkenal dengan minatnya sebagai penunggang motosikal dan kini menunggang BMW R1200 GS.

    Beliau menunggang motosikal untuk lawatan ke negara jiran, Jerman sejurus selepas pelantikannya.

    Musim panas lalu, Pavel berdepan masalah selepas media menyiarkan gambarnya menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda