Presiden FIFA dijangkiti COVID-19

LAUSANNE, 28 OKT – Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino disahkan positif COVID-19, umum badan induk bola sepak dunia itu.

Infantino, 50, didapati mempunyai gejala dan akan menjalani proses pengasingan diri selama 10 hari.

“Semua mereka yang mempunyai kontak dengan Presiden FIFA sepanjang beberapa hari lalu sudah dimaklumkan mengenainya dan diminta untuk mengambil tindakan susulan,” kata badan induk itu.

“FIFA mendoakan supaya Infantino segera sembuh.”

Infantino kali terakhir dilihat tampil di khalayak awam adalah pada Sidang Kemuncak Pematuhan FIFA yang berakhir pada 16 Oktober lalu dengan semua peserta mengambil bahagian menerusi persidangan video. – AFP