GENEVA, 12 JAN – Presiden FIFA, Gianni Infantino telah disoal oleh dua pendakwa raya Switzerland yang dilantik untuk mengambil alih siasatan berhubung dakwaan pertemuan sulitnya dengan bekas ketua pendakwaan negara itu, salah seorang majistret mengesahkan kepada AFP pada Rabu.
“Saya mengesahkan bahawa perbicaraan telah diadakan dalam prosiding yang dijalankan oleh Dr Ulrich Weder dan saya sendiri,” tulis Hans Maurer dalam e-mel kepada AFP.
“Bagaimanapun, saya tidak akan mengulas mengenai masa, skop dan tujuan perbicaraan ini.”
Awal Rabu, saluran berita Le Monde dan Sueddeutsche Zeitung melaporkan Infantino disoal siasat pada Selasa di Zurich, di mana ibu pejabat FIFA berpusat.
Presiden bola sepak dunia telah menghadapi prosiding sejak Julai 2020 kerana hasutan untuk menyalahgunakan kuasa, pelanggaran rahsia rasmi dan menghalang prosiding jenayah.

Hakim Switzerland menuduhnya melakukan tiga pertemuan rahsia pada 2016 dan 2017 dengan bekas peguam negara, Michael Lauber.
Infantino, 52, menegaskan bahawa pertemuannya dengan Lauber hanyalah rutin.
Lauber akhirnya meletak jawatan manakala sistem keadilan dalaman FIFA melepaskan Infantino.
Infantino akan bertanding tanpa saingan untuk penggal ketiga Presiden FIFA pada akhir tahun ini.
Dia akan menjadi satu-satunya calon apabila pilihan raya berlangsung di Kongres FIFA ke-73 di Kigali, Rwanda pada 16 Mac.
Penggal ketiga Infantino mengikuti barisan presiden FIFA sebelumnya iaitu Joao Havelange bertanggungjawab dari 1974 hingga 1998 dan pendahulu Infantino, Sepp Blatter yang memegang jawatan dari 1998 hingga 2015.
Infantino telah dipilih pada 2016 berjanji untuk memulihkan imej FIFA selepas persekutuan itu dilanda skandal pada tahun-tahun terakhir di bawah Blatter. – AFP

