Thursday, February 6, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Presiden FIFA pertahan VAR

    DUBAI, 29 Dis – Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino mempertahankan penggunaan teknologi video bantuan pengadil (VAR) biarpun kontroversi mengenainya timbul.

    VAR seperti yang diketahui masih menjadi percubaan sejak ia dimulakan musim ini pada Serie A dan Bundesliga serta akan diperkenalkan dalam saingan La Liga musim depan.

    Sistem itu yang mengundang kritikan sebahagian peminat kerana memperlahankan permainan, hanya boleh digunakan ketika insiden utama dalam perlawanan mengenai jaringan, keputusan penalti, keputusan kad merah dan kes tersilap identiti.

    Penggunaan teknologi itu dalam liga yang terbabit adalah sebahagian daripada ujian yang dilakukan oleh Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB).

    “Keputusan yang diperoleh setakat ini sangat menggalakkan, sangat positif,” kata Infantino dalam persidangan sukan di sini.

    Gianni Infantino menghadiri Majlis Anugerah Bola Sepak Globe di Tempat Peranginan Madinat Jumeirah, Dubai. – AFP

    “Keputusan yang sebelum ini silap boleh diubah bagi melakukan keputusan yang tepat.

    “Kadang kala ia mengambil masa lebih beberapa saat. Tetapi kami sangat positif dan saya sangat positif yang VAR akan menjadi pelaburan bagus dalam bola sepak moden.

    “(Ia) boleh digunakan di seluruh dunia bagi membantu dan menolong pengadil.”

    Dalam perkembangan lain, Infantino semalam memberitahu gabungan pembidaan oleh Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat untuk Piala Dunia 2026 menampakkan ‘mesej yang positif’.

    Berucap ketika persidangan perniagaan sukan yang berlangsung di Dubai, Infantino mengakui bahawa keputusan untuk memberikan mandat tuan rumah Piala Dunia secara serentak (Rusia di 2018 dan Qatar 2022) adalah satu kesilapan.

    “Satu kesilapan sudahpun dilakukan ketika memberikan dua Piala Dunia pada masa yang sama,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda