Monday, March 31, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Presiden Filipina mulakan Lawatan Negara ke Malaysia

    PUTRAJAYA, 25 JULAI – Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr memulakan Lawatan Negara ke Malaysia mulai hari ini hingga 27 Julai.

    Kunjungan itu merupakan lawatan sulung beliau ke Malaysia.

    Marcos akan diberikan sambutan negara oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara esok.

    “Presiden Marcos Jr akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, diikuti Majlis Santapan Negara bagi meraikan presiden serta delegasinya,” menurut kenyataan Kementerian Luar. 

    Marcos diiringi isteri Louise Araneta-Marcos dan delegasi yang terdiri daripada Setiausaha Kabinet, ahli politik dan pegawai kanan kerajaan Filipina.

    Menurut kenyataan itu, Marcos turut dijadual bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan kedua-dua pemimpin dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

    Lawatan itu menggambarkan jalinan persahabatan dan hubungan rapat antara kedua-dua negara selaku jiran rapat dan rakan kongsi di ASEAN, termasuk menerusi pertukaran lawatan di peringkat tinggi seperti lawatan rasmi Anwar ke Manila pada Mac 2023.

    Filipina merupakan rakan dagangan dunia ke-15 terbesar Malaysia dan kelima terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM41.45 bilion, peningkatan sebanyak 20.1 peratus berbanding jumlah dagangan pada 2021. – Bernama

    Ferdinand Marcos Jr dan isteri semasa tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk memulakan lawatan kerja selama tiga hari ke Malaysia.- Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda