BEIJING, 29 MAC – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto akan melawat China minggu depan, demikian menurut pengumuman oleh kementerian luar Beijing hari ini, yang merupakan lawatan pertamanya ke rakan dagang utama Jakarta sejak terpilih.
Atas jemputan Presiden Xi Jinping, Prabowo yang akan mengambil alih jawatan akhir tahun ini akan melawat China dari Ahad hingga Selasa, kata jurucakap kementerian luar, Hua Chunying.
Xi pada bulan ini mengucapkan tahniah kepada Prabowo, menteri pertahanan Indonesia, atas kemenangannya dan berkata beliau memberikan ‘kepentingan yang besar’ terhadap hubungan dengan negara kepulauan yang mempunyai hampir 280 juta penduduk itu.
China adalah salah satu sumber terbesar pelaburan langsung asing di Indonesia.
Tahun lepas, Jakarta merasmikan laluan kereta api berkelajuan tinggi pertama di Asia Tenggara, projek berbilion dolar yang disokong oleh Beijing.
Syarikat-syarikat China telah melabur berbilion-bilion dalam sumber asli di Indonesia dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya dalam sektor nikel.
Perbelanjaan itu telah mencetuskan keresahan berhubung gaji dan keadaan kerja di beberapa loji pemprosesan nikel yang dibiayai China, ketika Jakarta berusaha untuk menjadi pemain utama dalam rantaian bekalan bagi kenderaan elektrik. – AFP