TEHRAN, 20 NOV – Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, hari ini berkata ibu negara perlu dipindahkan dari Tehran susulan masalah kepadatan melampau dan krisis air yang semakin meruncing.
Pezeshkian sebelum ini pernah mengutarakan cadangan serupa, dengan paras hujan di Tehran tahun ini jatuh ke tahap paling rendah dalam tempoh satu abad.
“Realitinya kita tiada pilihan. Pemindahan ini satu keperluan. Kita tidak boleh terus membebankan kawasan ini dengan lebih ramai penduduk dan lebih banyak pembinaan,” katanya seperti dipetik agensi rasmi IRNA.
“Kita boleh membangunkan kawasan ini, tetapi kita tidak mampu menyelesaikan masalah air.”
Awal bulan ini, beliau memberi amaran Tehran mungkin perlu dikosongkan sekiranya hujan tidak turun sebelum musim sejuk tanpa menghuraikan butiran lanjut.
Bandar itu terletak di lereng selatan Pergunungan Alborz dan lazimnya menerima hujan musim luruh serta salji musim sejuk. Namun, puncak gunung yang selalunya sudah bersalji ketika ini masih kering.
Berikutan kekurangan air, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan pemotongan bekalan secara berkala kepada populasi Tehran seramai 10 juta orang.
Cadangan pemindahan atau pengosongan sebelum ini menerima kritikan, termasuk daripada media tempatan. Akhbar reformis Ham Mihan menyifatkan kenyataan itu sebagai ‘gurauan’. – AFP


