Presiden Iran kecam AS sebar ‘ketakutan’

TEHRAN, 26 FEB – Presiden Hassan Rouhani hari ini menuduh Amerika Syarikat (AS) cuba menyebar ‘ketakutan’ di Iran berhubung wabak koronavirus novel.

Koronavirus telah meragut 19 nyawa di kalangan 139 jangkitan di Iran, termasuk timbalan menteri kesihatan, menjadikannya wabak paling teruk di luar China.

“Kami tidak harus membiarkan Amerika melancarkan virus baharu selain koronavirus yang digelar ketakutan melampau,” beritahu Rouhani pada mesyuarat kabinet mingguan, sehari selepas Setiausaha Negara AS Mike Pompeo menuduh Iran menyekat maklumat mengenai wabak.

Amerika ‘sendiri yang bergelut dengan koronavirus. 16,000 orang telah terbunuh akibat selesema di sana tetapi mereka enggan bercakap tentang kematian mereka sendiri,” kata Rouhani.

Iran telah bergegas untuk membendung COVID-19 sejak Rabu minggu lalu apabila ia mengumumkan dua kematian pertama di Qom, sebuah pusat untuk kajian Islam dan jemaah yang menarik sarjana dari luar negara.

Pihak berkuasanya telah menutup sekolah, universiti, pusat kebudayaan, acara sukan dan menghantar kumpulan pekerja pembersih untuk membasmi kuman di stesen bas, kereta api dan tempat awam. Semalam, Pompeo menuduh republik Islam itu menyembunyikan wabak tersebut.

“Amerika Syarikat amat bimbang dengan maklumat yang menunjukkan rejim Iran mungkin telah menyembunyikan butir-butir mengenai wabak,” beritahunya kepada wartawan di Washington. – AFP

Seorang pekerja menyahjangkit koronavirus di sebuah bas awam di Tehran, Iran pada awal pagi kelmarin. – AP