Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Presiden Iran perkenalkan kabinet kepada parlimen

    TEHRAN, 11 OGOS – Presiden Iran, Masoud Pezeshkian memperkenalkan kabinetnya ke parlimen hari ini, termasuk seorang wanita dan diplomat mesra Barat sebagai menteri luar negara.

    Speaker parlimen, Mohammad Bagher Ghalibaf mengumumkan nama-nama kabinet 19 anggota yang diketengahkan presiden berkenaan semasa sidang dewan yang disiarkan secara langsung di televisyen negara.

    Bagi jawatan menteri luar negeri, Pezeshkian menamakan Abbas Araghchi, seorang diplomat berusia 61 tahun yang telah mengetuai rundingan nuklear sejak 2013.

    Dikenali kerana keterbukaannya kepada Barat, dia memainkan peranan penting dalam perjanjian nuklear 2015 antara Iran dan kuasa-kuasa dunia yang telah dimusnahkan tiga tahun kemudian oleh keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk menarik diri.

    Pezeshkian juga telah mencalonkan seorang wanita, Farzaneh Sadegh yang akan menjadi wanita Iran kedua yang memegang jawatan menteri sejak republik Islam itu ditubuhkan pada 1979.

    Gambar fail menunjukkan Timbalan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi (kanan) bercakap dalam taklimat akhbar di Tehran, Iran, pada 7 Julai 2019. – AP

    Wanita berusia 48 tahun itu bakal mengetuai kementerian jalan raya dan pembangunan bandar.

    Presiden reformis itu telah menamakan Jeneral Eskandar Momeni, seorang komander polis berusia 60 tahun dan bekas anggota Kor Pengawal Revolusi Islam, sebagai bakal
    menteri dalam negerinya.

    Jeneral Aziz Nasirzadeh, bekas komander Tentera Udara Iran dan timbalan ketua turut angkatan tentera sejak 2021, akan memegang tampuk kepimpinan kementerian pertahanan.

    Presiden telah memilih Mohsen Paknezhad, pengarah eksekutif berusia 58 tahun dengan kerjaya yang panjang dalam industri tenaga negara, sebagai bakal menteri minyaknya

    Parlimen ditetapkan untuk mula menyemak calon-calon esok dan menyerahkannya kepada undian oleh penggubal undang-undang mulai Sabtu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda