ISTANBUL, 2 JULAI – Presiden Iran, Masoud Pezeshkian hari ini mengumumkan penggantungan kerjasama negaranya dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), lapor saluran rasmi Press TV dan agensi berita Mehr.
Menurut laporan agensi Anadolu yang memetik agensi Tasnim, keputusan itu dibuat selepas Presiden Pezeshkian meluluskan undang-undang yang mewajibkan kerajaan menggantung hubungan dengan IAEA.
Langkah itu menyusuli keputusan Parlimen Iran minggu lalu yang meluluskan rang undang-undang untuk menggantung kerjasama dengan badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu.
Tindakan itu diambil berikutan ketegangan yang semakin memuncak antara Tehran dan IAEA berkaitan isu akses pemantauan dan ketelusan berikutan konfrontasi ketenteraan terkini melibatkan Israel dan Amerika Syarikat. – Bernama


