ISTANBUL, 15 DIS – Bekas presiden kelab Turkiye, Ankaragucu digantung seumur hidup oleh persekutuan bola sepak Turkiye kelmarin selepas menumbuk seorang pengadil selepas perlawanan awal minggu ini.
Lembaga disiplin persekutuan bola sepak Turkiye juga telah mengarahkan Ankaragucu untuk bermain lima perlawanan di tempat sendiri secara tertutup dan mendenda kelab itu sebanyak 60,000 euro.
Bos kelab, Faruk Koca bergegas ke padang dengan sekumpulan lelaki berikutan keputusan seri Ankaragucu dengan Caykur Rizespor pada Isnin, melepaskan tumbukan ke arah pengadil Halil Umut Meler selepas dia meniup wisel penamat.
Koca, yang disebut-sebut sebagai calon datuk bandar Ankara, kemudiannya meletakkan jawatannya, manakala semua perlawanan liga Turkiye digantung sehingga 19 Disember.
Koca kelihatan marah kepada Meler kerana melayangkan kad merah ke atas salah seorang pemainnya dan kemudian menghadiahkan gol pada masa kecederaan. – AFP


