SEOUL, 15 JAN – Penyiasat menahan Presiden Korea Selatan yang menghadapi pendakwaan, Yoon Suk Yeol di kediamannya hari ini dan membawanya untuk disoal siasat berhubung pengisytiharan undang-undang tentera yang singkat.
Waran tangkap terhadap Yoon dilaksanakan pada jam 10:33 pagi, lapor agensi berita Yonhap berdasarkan kenyataan Pejabat Penyiasatan Rasuah bagi Pegawai Berpangkat Tinggi (CIO).
Rakaman televisyen secara langsung menunjukkan konvoi kenderaan yang dipercayai membawa Yoon meninggalkan kawasan kediaman presiden di tengah Seoul menuju pejabat CIO di Gwacheon, selatan Seoul.
Yoon, yang digantung tugasnya susulan pendakwaan oleh Parlimen pada 14 Disember, berdepan pertuduhan pemberontakan dan penyalahgunaan kuasa.
Beliau didakwa mengerahkan tentera ke parlimen selepas mengisytiharkan undang-undang tentera pada malam 3 Disember bagi menghalang ahli parlimen daripada membatalkan dekri itu.
Yoon dijangka ditahan di Pusat Tahanan Seoul di Uiwang, berhampiran pejabat CIO, selepas soal siasat. – Bernama/Yonhap
