Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Presiden Korea Selatan mohon maaf isu anak angkat

    SEOUL, 2 OKT – Presiden Korea Selatan memohon maaf hari ini atas pengurusan lemah dalam program pengambilan anak angkat asing yang dibelenggu dengan penyalahgunaan dan penipuan, beberapa bulan selepas suruhanjaya kebenaran negara itu mengakui buat pertama kali tanggungjawab kerajaan terhadap amalan tersebut.

    Presiden Lee Jae Myung dalam satu hantaran di Facebook berkata dia menyampaikan permohonan maaf tulus dan kata-kata simpati bagi pihak negara kepada rakyat Korea Selatan yang diambil sebagai anak angkat di luar negara serta kepada keluarga angkat dan keluarga kandung mereka.

    Hasil dapatan oleh Suruhanjaya Kebenaran dan Perdamaian serta keputusan mahkamah baru-baru ini mengesahkan terdapat beberapa kes pelanggaran hak asasi manusia dalam proses pengambilan anak angkat antarabangsa, kata Lee, sambil menambah kerajaan gagal memainkan peranan sewajarnya dalam kes tersebut. Namun, dia tidak menghuraikan lebih lanjut.

    Lee berkata dia ‘berasa berat hati’ apabila memikirkan tentang kebimbangan, kesakitan dan kekeliruan yang dialami oleh anak angkat Korea Selatan apabila mereka dihantar ke luar negara semasa kecil.

    Dia meminta para pegawai merangka sistem untuk melindungi hak asasi anak angkat serta menyokong usaha mereka mencari ibu bapa kandung.

    Lee Jae Myung menyampaikan ucapannya semasa sambutan memperingati Hari Angkatan Bersenjata ke-77 di Gyeryong, Korea Selatan, pada 1 Oktober. – AP

    Korea Selatan berdepan tekanan yang semakin meningkat untuk menangani penipuan dan penyalahgunaan meluas yang membelenggu program pengambilan anak angkat, khususnya pada era 1970an dan 1980an apabila negara itu membenarkan ribuan kanak-kanak diambil sebagai anak angkat setiap tahun.

    Ramai anak angkat mendapati rekod mereka dipalsukan bagi menggambarkan mereka sebagai anak yatim terbiar, manakala yang lain pula diambil secara cuai atau diculik daripada keluarga kandung mereka.

    Dalam laporan bersejarah pada Mac lalu, Suruhanjaya Kebenaran dan Perdamaian menyimpulkan bahawa kerajaan bertanggungjawab memudahkan program pengambilan anak angkat yang didorong oleh usaha untuk mengurangkan kos kebajikan.

    Laporan itu menyusuli siasatan hampir tiga tahun terhadap aduan daripada 367 anak angkat di Eropah, Amerika Syarikat dan Australia.

    Penemuan tersebut selaras dengan siasatan AP pada 2024 bersama Frontline (PBS), yang memperincikan bagaimana kerajaan Korea Selatan, negara Barat dan agensi pengambilan anak angkat bekerjasama membekalkan kira-kira 200,000 kanak-kanak Korea kepada ibu bapa luar negara, walaupun terdapat bukti bertahun-tahun menunjukkan ramai daripada mereka diperoleh melalui cara yang meragukan atau tidak beretika.

    Selepas bertahun-tahun kelewatan, Korea Selatan pada Julai lalu meratifikasi Konvensyen Hague mengenai Pengambilan Anak Angkat, satu perjanjian antarabangsa yang bertujuan melindungi pengambilan anak angkat antarabangsa.

    Perjanjian itu mula berkuat kuasa di Korea Selatan kelmarin. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda