YEREVAN, 18 NOV – Presiden Majlis Kehakiman Tertinggi, Karen Andreasyan telah mengumumkan peletakan jawatannya daripada jawatan yang dipegangnya sejak 2022, lapor Sputnik.
“Presiden Mahkamah Agung memaklumkan di laman Facebook miliknya bahawa beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatan,” kata pihak berkuasa kehakiman Armenia di Telegram, hari ini.
Andreasyan bukan sahaja meletak jawatan sebagai pengerusi Majlis Kehakiman Tertinggi, tetapi juga menarik diri sepenuhnya daripada majlis itu.
Beliau tidak mendedahkan sebab di sebalik keputusan berkenaan.
Media Armenia melaporkan kelmarin Perdana Menteri Armenia, Nikol Pashinyan telah memecat Menteri Dalam Negeri, Vahe Ghazaryan, pengerusi Jawatankuasa Penyiasatan Armenia, Argishti Kyaramyan, pengerusi Jawatankuasa Hasil Negara, Rustam Badasyan, dan Menteri Pentadbiran Wilayah dan Infrastruktur, Gnel Sanosyan.
Pada mesyuarat kerajaan pada 15 November, Pashinyan menyatakan rasa tidak puas hati terhadap prestasi agensi penguatkuasaan undang-undang. – Bernama