THYOLO, 21 OKT – Presiden Malawi, Peter Mutharika, Ahad lalu mengumumkan pelaksanaan pendidikan percuma di peringkat rendah dan menengah bermula Januari 2026, sambil memberi jaminan bahawa kerajaan sedang memperoleh 200,000 metrik tan jagung dari negara jiran Zambia bagi membantu lebih empat juta rakyat yang berdepan kekurangan makanan. Mutharika membuat pengumuman itu di daerah Thyolo ketika menghadiri festival budaya tahunan masyarakat Lhomwe.
Pemimpin Malawi itu, yang mengangkat sumpah sebagai presiden ketujuh negara pada 4 Oktober lalu selepas kemenangan dalam pilihan raya presiden pada 16 September, menyifatkan pendidikan sebagai kunci kepada pembangunan negara serta menggesa ibu bapa dan penjaga memastikan setiap kanak-kanak hadir ke sekolah.
“Ibu bapa kini tiada alasan untuk tidak menghantar anak-anak ke sekolah. Kami mahu anak-anak kita mendapat pendidikan kerana tanpa pendidikan, pembangunan tidak mungkin dicapai,” kata Mutharika. Berhubung isu keselamatan makanan, presiden itu memberi jaminan kepada semua rakyat Malawi yang terjejas akibat kebuluran bahawa ‘segala persiapan telah dibuat’ dan beliau menghantar menteri pertanian negara itu ke Zambia untuk memuktamadkan perjanjian pembelian jagung tersebut. – Bernama


