MEXICO CITY, 22 JULAI – Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum kelmarin mempertahankan keputusan pemerintahannya memindahkan operasi kargo udara dari Lapangan Terbang Antarabangsa Mexico City (AICM) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Felipe Angeles (AIFA).
Beliau turut menolak dakwaan Amerika Syarikat (AS) bahawa langkah itu melanggar perjanjian penerbangan dua hala, lapor Xinhua.
Bercakap pada sidang media hariannya, Sheinbaum menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat atas pertimbangan teknikal dan keselamatan bagi mengurangkan kesesakan di AICM.
“Tidak ada sebab untuk sebarang bentuk sekatan dikenakan. Kami sedang memperkukuh kemudahan kastam dan cukai bagi melancarkan lagi operasi,” katanya sambil menegaskan bahawa AIFA beroperasi dengan baik dan mengendalikan kargo secara efisien.
Kenyataan itu dibuat susulan amaran daripada pentadbiran Trump hujung minggu lalu, yang mendakwa Mexico secara sepihak memaksa syarikat penerbangan kargo AS berpindah ke AIFA, satu tindakan yang dikatakan melanggar perjanjian penerbangan dua hala 2022 dan menyebabkan kerugian besar kepada firma AS. – Bernama
