WINDHOEK, 4 FEB – Presiden Namibia, Hage Geingob meninggal dunia awal pagi tadi di sebuah hospital di Windhoek pada usia 82 tahun, kata pejabatnya.
Geingob, yang sedang berkhidmat dalam penggal kedua sebagai presiden dan merupakan perdana menteri pertama negaranya selepas merdeka, mendedahkan bulan lalu dia sedang dirawat kerana mengalami penyakit kanser.
Baru-baru ini, beliau mengambil pendirian dengan menyokong aduan Afrika Selatan terhadap Israel di bawah Konvensyen Genosid dan dengan mengutuk bekas pemerintah penjajah Namibia, Jerman kerana menolak kes itu.
“Dengan penuh kesedihan dan kekesalan saya memaklumkan kepada awda bahawa Dr Hage G. Geingob yang dikasihi, Presiden Republik Namibia, telah meninggal dunia hari ini,” menurut satu kenyataan yang ditandatangani oleh pemangku presiden, Nangolo Mbumba.
“Di sisinya adalah isteri yang tercinta, Madame Monica Geingos dan anak-anaknya,” tambah kenyataan itu.
Biopsi berikutan pemeriksaan perubatan rutin pada bulan Januari telah mendedahkan ‘sel kanser’, kata pejabat Geingob pada masa itu.
Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa berkata, “Hari ini, Afrika Selatan menyertai rakyat negara saudara kita, Namibia dalam berkabung atas kematian seorang pemimpin, patriot dan rakan Afrika Selatan.
“Presiden Geingob ialah seorang veteran pembebasan Namibia daripada penjajahan dan aparteid.
“Beliau juga amat berpengaruh dalam solidariti yang diperluaskan rakyat Namibia kepada rakyat Afrika Selatan supaya kita boleh bebas hari ini,” tambahnya. – AFP










