Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Presiden Nauru David Adeang terpilih semula ke Parlimen dalam PRU

    SYDNEY, 13 OKT – Penyandang Presiden Nauru David Adeang terpilih semula ke Parlimen negara Micronesia itu dalam pilihan raya umum (PRU) yang diadakan pada Sabtu.
     
    Adeang, yang memegang jawatan presiden sejak Oktober 2023, merupakan antara 19 ahli parlimen yang dipilih untuk mewakili lapan kawasan pilihan raya pelbagai kerusi di Nauru.
     
    Menurut keputusan rasmi yang dikongsi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya di media sosial kelmarin dan hari ini, Adeang menerima jumlah undi tertinggi daripada empat ahli Parlimen yang dipilih mewakili kawasan Ubenide iaitu kawasan paling ramai penduduk di negara itu.
     
    Namun, pemilihan semula beliau sebagai ahli Parlimen tidak bermakna Adeang akan kekal sebagai presiden, kerana Parlimen baharu akan memilih ketua negara daripada kalangan anggotanya sendiri.
     
    Russ Kun, yang mendahului Adeang sebagai presiden, turut terpilih semula sebagai ahli Parlimen dengan jumlah undi ketiga tertinggi di Ubenide, manakala Lionel Aingimea iaitu presiden Nauru dari 2019 hingga 2022, memperoleh jumlah undi tertinggi di kawasan Meneng. – Bernama
     
    Adeang bercakap semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York City pada 23 September lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda