Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Presiden Palestin gesa status quo masjid Al-Aqsa dikembalikan

    RAMALLAH, 26 Julai – Presiden Palestin Mahmoud Abbas mahu situasi di Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur dikembalikan kepada status quo seperti sebelum tarikh 14 Julai, lapor agensi berita Xinhua.

    “Pendirian Palestin dalam hal ini tidak akan berubah,” katanya selepas menghadiri mesyuarat tergempar yang turut disertai pemimpin Pertubuhan Pembebasan Palestin, pemimpin pergerakan Fatah dan pasukan keselamatan Palestin.

    “Apa sahaja langkah yang diambil (Israel) melibatkan Masjid Al-Aqsa selepas 14 Julai, perlu dibatal dan ditamatkan segera. Situasi di Baitulmaqdis perlu dikembalikan kepada keadaan asal, selepas itu barulah Palestin akan menyambung semula hubungan dengan Israel,” katanya kepada stesen televisyen tempatan WAFA. Abbas berkata penduduk Baitulmaqdis sepakat menolak semua tindakan yang diambil pihak Israel melibatkan masjid suci umat Islam itu.

    Tegasnya, seluruh rakyat Palestin juga menyokong pendirian penduduk Baitulmaqdis itu.

    Sementara itu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu hari ini mengarahkan pengunjung yang ingin memasuki Masjid Al-Aqsa diperiksa dengan menggunakan pengesan logam pegangan tangan, lapor agensi berita Xinhua.

    Presiden Palestin Mahmoud Abbas (tengah) ketika bercakap semasa mesyuarat di bandar Ramallah, Tebing Barat pada 25 Julai 2017. – Xinhua
    Presiden Palestin Mahmoud Abbas (tengah) ketika bercakap semasa mesyuarat di bandar Ramallah, Tebing Barat pada 25 Julai 2017. – Xinhua

    Menurut kenyataan media, berikutan ancaman keselamatan, Netanyahu dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Gilad Erdan mengarahkan polis Israel memeriksa setiap individu yang ingin memasuki pintu Masjid Al-Aqsa dengan alat pengesan logam pegangan tangan.

    Keputusan itu dibuat sehari selepas Israel menghentikan penggunaan pengesan logam yang dipasang di pintu masuk Masjid Al-Aqsa, yang turut dikenali dengan nama Temple Mount di kalangan masyarakat Yahudi.

    Tindakan Israel memasang pengesan logam dan kamera pengawasan di masjid suci umat Islam itu dengan alasan keselamatan susulan kes tembakan pada 14 Julai lalu, mengundang bantahan yang akhirnya mengakibatkan konflik berdarah sejak seminggu yang lalu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda