RAMALLAH, 4 OKT – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menerima kunjungan delegasi Israel di Ramallah kelmarin, lapor agensi Anadolu memetik media tempatan.
Delegasi dari parti sayap kiri Meretz itu diketuai Menteri Kesihatan Israel, Nitzan Horowitz dan Menteri Kerjasama Wilayah Israel, Issawi Frej, lapor agensi berita rasmi WAFA.
Dalam pertemuan itu, Abbas menegaskan Israel mesti mengakhiri pencerobohannya dan kegiatan pembangunan penempatan Yahudi serta berusaha mencari penyelesaian yang aman melalui pelaksanaan resolusi antarabangsa.
Beliau berkata Israel juga perlu berhenti memusnahkan rumah penduduk Palestin dan mengusir mereka dari Baitulmaqdis.
Sementara itu, delegasi Meretz menegaskan pendirian mereka menyokong usaha penyelesaian dua negara, mengakhiri pencerobohan dan bersama-sama membina kepercayaan selain kerjasama dalam bidang kesihatan.
Parti Meretz adalah antara beberapa parti Israel yang menyokong penubuhan negara Palestin dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara dan menentang pembangunan penempatan Yahudi. – Bernama