ACCRA, 1 MAC – Presiden Ghana Nana Akufo-Addo hari ini menjadi penerima pertama di dunia vaksin koronavirus dari Covax, skim global untuk memperoleh dan mengagih inokulasi secara percuma untuk negara lebih miskin.
Negara lebih kaya telah meneruskan dengan program vaksinasi untuk rakyat mereka, namun negara miskin masih menunggu dos vaksin pertama mereka.
“Adalah penting saya menetapkan contoh bahawa vaksin ini adalah selamat dengan menjadi orang pertama yang menerimanya, supaya semua orang di Ghana boleh rasa selesa untuk menerima vaksin ini,” kata presiden berusia 76 tahun sebelum menerima suntikan vaksin Oxford/AstraZeneca dalam siaran secara langsung.
Wanita pertama Rebecca Akufo-Addo juga menerima vaksin tersebut, sehari sebelum 600,000 dos yang lain diagihkan di seluruh negara.
Pihak berkuasa makanan dan ubat-ubatan Ghana pada bulan lalu meluluskan vaksin buatan India dan Sputnik V dari Rusia tatkala kerajaan berhasrat menyasarkan vaksinasi 20 daripada 30 juta penduduknya pada akhir tahun. Rabu lalu, Ghana menjadi negara pertama untuk menerima vaksin dari Covax, dipimpin oleh Perikatan Vaksin Gavi, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Gabungan Inovasi Kesediaan Epidemik (CEPI). – AFP
