STOCKHOLM, 30 JAN – Presiden Perancis, Emmanuel Macron hari ini disambut dalam upacara yang penuh gilang-gemilang pada permulaan lawatan negara dua hari ke Sweden di mana beliau akan bertemu Perdana Menteri, Ulf Kristersson dan raja negara Scandinavia, Raja Carl XVI Gustaf.
Macron dan isterinya, Brigitte, disambut oleh raja di halaman dalam istana diraja pusat bandar Stockholm yang merupakan kediaman rasmi kerabat diraja Sweden.
Di sana, Macron dan Carl Gustaf memeriksa perbarisan anggota Pengawal Grenadier.
Macron menyatakan bahawa sudah terlalu lama sejak seorang presiden Perancis melawat Sweden — kali terakhir adalah pada 2014, ketika Francois Hollande mengunjungi negara Scandinavia itu.
“Oleh itu, lawatan saya adalah pertama sekali untuk memperbaharui persahabatan kami, perkongsian kami dalam Kesatuan Eropah dan ketika Sweden bersedia untuk
menyertai NATO, pakatan kami,” kata Macron.
Macron seterusnya akan membincangkan masa depan keselamatan Eropah di akademi tentera di Stockholm, bersama-sama dengan Kristersson dan raja.
Perang Rusia terhadap Ukraine dan permohonan Sweden untuk menyertai NATO juga mungkin akan dibincangkan. – AP
